SEORANG SAHABAT BERNAMA JAHAR

December 1, 2009

Hati mana yang tidak merasa gembira melihat sahabat mendirikan rumahtangga. Masih terbayang-bayang lagi ketika tinggal sebilik sewaktu zaman pengajian di kampus dahulu. Susah, senang, tangis dan tawa dilalui bersama.

Jahar, nama yang disinonimkan dengan lucu dan lawak oleh sahabat-sahabat. Gembira, gelak ketawa selalu berkumandang bila sahaja bersama dengannya. Apabila sudah lama tidak ketemu, seolah-olah rindukan cerita perihal kampungnya yang pelbagai itu. Menyebabkan kami sukar melupakannya.

Jarak yang memisahkan sebenarnya tidak dapat memutuskan persahabatan. Perasaan sebagai seorang sahabat senantiasa bertapak di hati. Seringkali nama Jahar disebut-sebut sewaktu bertemu dengan sahabat-sahabat yang lain. Kadang-kadang diungkitkan kembali cerita-cerita komedinya dengan diserikan juga loghat Kelantannya. Sekadar cuba meniru gayanya.

Alhamdulillah, pada 29 November 2009 di Gaal, Kelantan beliau telah mendirikan rumahtangga. Tahniah diucapkan.

Bagaikan pinang dibelah dua! Selamat pengantin baru buat Saudara Azhar bin Abdul Aziz atau Jahar dan pasangannya, Azliza. Semoga bahagia hidup berumahtangga di bawah lembayung rahmat Ilahi.  Amin…

Rombongan sampai..

FASTAQIM KAMA UMIRTA..


KEJAYAAN SEBUAH ORGANISASI

November 24, 2009

“Pekerja kat sini memang tidak mempunyai meja ataupun ‘compartment’ tertentu.” Kata pegawai itu dalam senyum.

“Habis, macamana mereka buat kerja? Tidakkah sukar kalau tidak mempunyai sudut meja untuk melakukan kerja?” Tanya sahabat saya. Tidak dinafikan memang itulah tanggapan kita selama ini. Tidak boleh melakukan kerja kecuali di tempat yang memang dikhususkan untuk kita.

“Mereka boleh melakukan kerja di mana-mana sahaja dalam bangunan syarikat ini. Sebab itu, lebih 80% pekerja syarikat ini mempunyai laptop. Jadi, mereka boleh bawa laptop mereka ke mana-mana sahaja dalam pejabat ini. Ia akan memudahkan mereka untuk melakukan kerja bersama-sama dengan orang yang mungkin berbeza setiap hari.” Panjang danterperinci penerangan pagawai tersebut.

Demikianlah antara sedutan lawatan kami ke ibu pejabat DIGI baru-baru ini. Saya berpeluang bersama rakan-rakan sekelas ke ibu pejabat DIGI yang terletak di Subang Hi-Tech Park, Shah Alam.

Saya bukan hendak memuja. Namun, saya rasa kagum dengan ‘corporate culture’ yang ditonjolkan oleh syarikat DIGI.

Sesampainya kami ke sana, kami disambut oleh seorang pegawai dan dilayan dengan sebaik mungkin. Ia adalah salah satu rangka lawatan sambil belajar untuk melengkapkan salah satu subjek yang diambil semester ini; Ethics and Governance.

DIGI walaupun berada di tempat ketiga berbanding MAXIS dan CELCOM dalam penyediaan perkhidmatan telekomunikasi, namun ‘workplace environment’ yang dihasilkan sangat menarik hati sesiapa sahaja yang menyaksikannya.

Bersama dengan rakan sekelas; Servet (Turki) dan Hassan (Kenya).

Kakitangan adalah Rakan Kongsi

Bukan sahaja kami terpegun melihat suasana yang ada, namun sikap professional mereka seharusnya dipuji. Setiap pekerja dianggap sebagai rakan kongsi, bukannya sebagai orang bawahan. Mereka bekerja sebagai sebuah pasukan yang mempunyai cita-cita yang tinggi, dan setiap individu yang bernaung di bawah syarikat berkenaan mempunyai peranan bagi menjayakannya.

Antara ikrar yang selalu dipegang oleh mereka adalah ‘keep the promises’. Ia adalah sebenarnya bertepatan dengan ajaran Islam supaya menepati janji. Mungkin mereka berbangga dengan kejayaan yang telah dicapai setakat ini.

Namun, apakah pernah kita terfikir tentang maksud kejayaan yang sebenar di sisi Islam? Apakah agama Islam melihat kejayaan sesebuah organisasi atau syarikat itu berdasarkan pencapaian keuntungan yang dicapai sebagaimana mengikut penilaian golongan kapitalis yang hanya mengejar keuntungan kebendaan?

Kejayaan yang Sebenar

Dalam Islam, kejayaan diistilahkan sebagai ‘al-falaah’. Kejayaan yang dimaksudkan dengan perkataan ‘al-falaah’ ini adalah kejayaan hakiki di dunia dan akhirat. Ia merupakan satu kefahaman yang diberi penekanan oleh al-Quran, dan buktinya terdapat 40 tempat di mana perkataan yang berkaitan dengan kejayaan ini dinyatakan oleh al-Quran. Malah di dalam azan pun ia turut dilaungkan oleh mu’azzin setiap kali seruan solat lima waktu dengan lafaz ‘hayya ‘alal falah’ (marilah menuju kejayaan).

Antara unsur yang paling penting dalam proses untuk mencapai kejayaan ini adalah dengan menaplikasikan proses penyucian jiwa (tazkiyatun nafs). Proses ini akan membentuk insan yang beriman, bertaqwa dan sentiasa bertawakkal pada Allah. Nilai-nilai ini pada akhirnya akan mewujdkan budaya etika kerja yang berdisiplin, bertanggungjawab dan sentiasa efektif. Seterusnya, setiap gerak kerja yang dijalankan pastinya akan dinilai berdasarkan kacamata Syariah Islam itu sendiri. Dengan kata lain, kejayaan yang diharapkan ini bukan sahaja disukai oleh manusia, tetapi juga mendapat rahmat dan keredhaan Allah.

Justeru, apabila kepimpinan dan kakitangan sesebuah syarikat mempunyai nilaian ‘tazkiyatun nafs’, maka akan terhasillah sebuah organisasi yang berwawasan, bermoral tinggi, memenuhi tanggungjawab dan berkemampuan.  Syarikat yang diterajui oleh golongan ini semestinya menjadi syarikat yang mementingkan nilai dan etika dalam bekerja. Keuntungan yang dicari dan diusahakan pastinya tidak akan menyebabkan penindasan dan kezaliman terhadap pihak-pihak lain.

Sebenarnya, Inilah yang diinginkan oleh agama Islam di mana wujud keseimbangan di antara apa yang dikatakan sebagai perdagangan (commercialism) dengan kemanusiaan (humanitarianism); atau lebih mudah lagi, keseimbangan di antara keuntungan dengan tanggungjawab sosial. Keseimbangan ini akan menjadi satu jawapan penyelesaian kepada masalah dunia perniagaan sekarang yang dipenuhi unsur pengambilan untung yang tidak beretika, penindasan ke atas masyarakat pengguna, masalah tadbir urus yang tidak baik; masalah alam sekitar dan sebagainya.

Bergambar di hujung lawatan.Memastikan Kejayaan Berkekalan

Di samping itu, untuk memastikan kejayaan yang diperolehi itu berkekalan, unsur-unsur yang boleh merencatkan usaha tersebut perlulah dikenal pasti. Ini seterusnya menuntut kepada proses penambahbaikan melalui muhasabah terhadap gerak kerja yang dijalankan selama ini.

Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari dan Muslim, nabi s.a.w ada bersabda yang bermaksud:

“Orang yang berjaya ialah mereka yang lebih baik daripada semalam; orang yang malang ialah mereka yang hari ini lebih teruk daripada semalam dan orang yang tertipu ialah orang yang hari ini sama dengan semalam”.

Selain itu Saidina Umar al-Khattab ada berkata, yang bermaksud:

“Hisablah diri kamu semula kamu dihisabkan”

Umumnya, perlu kita fahami bahawa kejayaan tidak akan dikecapi dengan sekelip mata. Namun, usaha untuk mencapai kejayaan ini mestilah seiring dengan pergantungan kepada Allah SWT. Perancangan yang teliti disertai dengan komitmen dan nilai etika yang tinggi amat penting untuk membuahkan hasil yang terbaik.

Sekadar memetik kata-kata Pengerusi BMW, Norbert Reithofer:
“Kejayaan adalah terhasil berdasarkan beberapa aspek iaitu perancangan yang berterusan, barangan keluaran yang menarik, penerimaan pasaran, kewangan yang kukuh dan pekerja yang bermotivasi. Kesemua unsur ini tidak muncul dalam tempoh semalaman. Ia adalah hasil usaha dan ketekunan yang berpanjangan”.

Kesimpulannya, kejayaan yang sebenar dari sudut pandangan Islam adalah apabila kita dapat meraih keuntungan dunia dengan mendapat redha dari Allah SWT hasil usaha yang optimum dan berdasarkan syariah Allah SWT.

Ziarah ke DIGI membuatkan saya berfikir sejenak. Apakah kita telah dianggap sebagai Berjaya di sisi Allah? Wallahu a’lam.

FASTAQIM KAMA UMIRTA.


KERISAUAN SEBAGAI SEORANG AHLI

November 14, 2009

RISAU

Sumber: www.pemudagombak.com

Semasa majlis solat hajat dan munajat di Markaz Taman Melewar tempoh hari, saya terfikir apakah krisis yang berlaku dalam PAS dewasa ini adalah yang terburuk dalam sejarah? Us. Nasruddin Hassan Tantawi yang membaca doa selepas solat hajat tersebut kelihatan resah dan gusar di atas perkembangan yang berlaku mutakhir ini.

Terlalu berat ujian yang dihadapi oleh pimpinan dalam memacu gerakan ini. Pastinya berlaku kesukaran dalam menggerakkan agenda pemulihan parti kerana dilingkungi oleh kerja-kerja pilihanraya kecil yang kerap berlaku. Yang lebih memberatkan lagi, apabila parti dirundung dengan polemik dalaman yang lebih sukar diselesaikan berbanding berhadapan dengan musuh luar.

Alhamdulillah, ahli PAS semakin bertambah dari semasa ke semasa. PAS masih membuka keahlian seluas-luasnya tanpa mengira kedudukan, tahap pendidikan serta latarbelakang pendidikan. Namun, di sebalik perkembangan ini, terdapatnya kebimbangan bahawa terdapatnya mereka yang menjadi ahli dengan matlamat intima’ di atas kepentingan tertentu.

Matlamat Yang Sukar Dijangka

Sesungguhnya matlamat sama ada baik atau buruk terselindung di hati. Ia tidak dapat dilihat walaupun kadang-kadang dapat dihidu. Namun, tetap sukar untuk dicam dan dipastikan sesiapa.

Ini adalah kerana, walaupun perbuatan dan riak muka dapat menggambarkan dan menzahirkan apa yang tergaris di hati, namun lidah boleh menafikannya dengan bercakap dan tangan boleh menidakkannya dengan menulis.

Bahkan, si empunya diri mungkin dapat menukarkan yang hak kepada batil dan batil kepada hak. Yang bersalah kepada tidak bersalah, terus disanjung dan dipuja. Yang tidak bersalah kepada bersalah, lalu dihina, dicerca dan diasak bertubi-tubi.

Tidak dapat dinafikan, ada yang berniat serta bermatlamat baik, namun kelihatan salah kerana mungkin pendekatan yang dibawa adalah silap. Mengundang fitnah kepada diri. Demikian juga terdapat hamba Allah yang mempunyai niat jahat, namun oleh kerana penampilan zahirnya baik, kalamnya indah, maka akan dilihat benar.

Hanya Allah yang Memberi Hidayah

Entah berapa kali pimpinan membuat mesyuarat. Sudah kerap kali kenyataan dan penjelasan dibuat oleh mereka. Bahkan, telah diberikan ruang kepada ahli untuk menyuarakan pandangan dalam seminar serta diskusi yang diadakan.

Namun, kenapa masih wujud hamba Allah yang mempertikaikan pimpinan. Kenapa isu Unity Government masih ditimbulkan sedangkan jelas penegasan Tuan Guru Presiden bahawa ia telah ditutup dan dihentikan? Mengapa kita terlalu degil untuk menerima kenyataan, redha dan thiqah kepada pimpinan?

Lebih dahsyat lagi, ada yang sanggup dengan sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah, bercakap tanpa batasan dan melangkaui disiplin sebagai ahli gerakan. Gerunlah dengan sabda Nabi SAW:

 ” Sesungguhnya seorang hamba yang bercakap sesuatu kalimah atau ayat tanpa mengetahui implikasi dan hukum percakapannya, maka kalimah itu boleh mencampakkannya di dalam Neraka lebih sejauh antara timur dan barat” ( Riwayat Al-Bukhari, bab Hifdz al-Lisan, 11/256 , no 2988)

 Hanya Allah SWT yang Maha Mengetahui. Semoga Dia menyingkirkan musuh-musuh Islam dan gerakan Islam sama ada dari luar atau dalam.

FASTAQIM KAMA UMIRTA..


WATAK SEORANG PEJUANG

November 7, 2009

SDC11138

Mungkin ramai akan memberikan ulasan sama ada positif atau negatif selepas berakhirnya Seminar Memperkasakan Parti pada petang tadi. Cukuplah dengan coretan rakan-rakan blogger dalam menggambarkan suasana program tersebut. Rasanya tidak perlu diulas lagi resolusi, perbahasan atau bilangan perwakilan serta pemerhati yang hadir.

Namun, saya ingin mengulas tentang seorang individu yang menjadi antara subjek-subjek utama ucapan serta perbahasan hari ini. Beliau adalah Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang.

Bagi yang ingin mencari individu yang benar-benar menjiwai akhlaq sebagai ahli gerakan, pada saya contoh yang paling sesuai adalah beliau.

Pengalaman Seminar

Beliau berkelapangan mengikuti seminar politik tersebut sejak dari awal lagi termasuk memberikan ucaptama. Sejak awal seminar lagi saya memerhatikan ucapan, tindak-tanduk serta reaksi beliau tehadap peserta-peserta seminar dan keadaan di situ.

SDC11144Bermula dari pembentangan oleh Prof. Abdul Aziz Bari dan Dr. Abu Hassan Hasbullah, beliau telah mula dikritik. Bahkan, ditambah pula dengan data-data sokongan responden kajian yang dikemukakan oleh Dr. Abu Hassan yang menampakkan sokongan yang agak negatif terhadap beliau. Saya serahkan kepada sahabat-sahabat yang lain untuk mengulas dapatan-dapatan tersebut.

Namun, sudi saya ketengahkan di sini tentang sikap tawaddhu’ beliau yang sudi mendengar kritikan dan teguran yang dikemukakan. Sepanjang slot bersama dua tokoh akademik tersebut, beliau langsung tidak berganjak dari tempat duduknya bersama dengan hadirin yang lain mendengar dengan tekun setiap pandangan yang dilontarkan.

Saya tidak pasti sekiranya orang lain berada di tempatnya akan bertahan lama.

Walaupun diasak bertubi-tubi oleh sebahagian perwakilan, namun beliau dengan sifat rendah diri mencatit satu-persatu apa yang dimuhasabahkan.

Tenang…..

Walaupun kebanyakan kritikan itu adalah tohmahan. Dan tidak melampau ada yang sampai ke tahap fitnah terhadap kepimpinan beliau.

Kadang-kala beliau kelihatan mengangguk-anggukkan kepala tanda mengiakan, bersetuju dengan kritikan yang diberikan. Bahkan, dalam ucapan penggulungan, beliau sanggup membela pihak yang mengkritiknya dan seolah-olah menyanjung tinggi semua pandangan kritis itu.

Beliau tidak akan merasa gundah dengan kemelut ini. Sebarang masalah yang berlaku pastinya tidak akan melemahkan semangat untuk terus berjuang. Bahkan, tekad Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang untuk tetap memikul amanah yang diserahkan kepada beliau sedaya mungkin. Beliau menyatakan bahawa kepimpinan PAS yang diketuai beliau adalah nakhoda yang akan terus menerajui parti demi mencapai hasrat memartabatkan agama Allah SWT di bumi Malaysia ini.

Saya terfikir sekiranya beliau terpengaruh dengan gesaan supaya memecat Ustaz Nasharuddin Mat Isa, Dato’ Mustafa Ali dan Dato’ Hassan Ali, nescaya ahli PAS akan lebih teruk berpecah. Jemaah akan porak-peranda dan runtuh. Mungkin ada yang keluar PAS dan menubuhkan parti baru.

Tekun mendengar sesi penggulungan.

Namun, tindakan beliau yang memanggil mesyuarat PAS untuk membincangkannya adalah satu akhlaq yang perlu dicontohi. Ini menunjukkan beliau mengutamakan syura melebihi pandangan peribadi. Bahkan, beliau tidak pernah sewenang-wenangnya menjawab tohmahan yang dilontarkan secara melulu dan emosi. Beliau bersikap tidak menyebelahi mana-mana pihak. Adil dan menyerahkan perkara tersebut untuk disiasat oleh Jawatankuasa Disiplin.

Beliau meminta pandangan sahabat-sahabat pimpinan yang lain terlebih dahulu sebelum menyatakan sesuatu sikap. Walaupun beliau mempunyai hak untuk menggunakan autoritinya bagi memberikan pendapat. Sementelah lagi beliau mempunyai kelayakan berijtihad sebagai seorang ulama’.

Sikap keterbukaan beliau jelas apabila sudi bersetuju untuk menganjurkan seminar hari ini. Bahkan, beliau sudi untuk menjemput orang yang mengkritik kepimpinan dan batang tubuh beliau secara lantang dan terbuka iaitu Prof. Abdul Aziz Bari.

Apakah mata kita sudah kabur untuk melihat keikhlasan beliau? Apakah begitu singkat ingatan kita sehingga melupakan jasa beliau selama ini dalam perjuangan PAS? Apakah kita terus segera meletakkan satu label negatif serta serong kepada beliau hanya sekadar dengan lontaran idea Kerajaan Perpaduan yang merupakan ijtihad peribadi beliau?

Tuan Guru mempunyai kekuatannya yang tersendiri. Hikmah dan kebijaksanaannya mungkin belum disedari termasuk oleh pimpinan PAS sendiri. Sehingga menyebabkan ada pihak yang sanggup memberikan wala’ kepada orang di luar parti. Tokoh-tokoh lain dikagumi, disanjungi sehingga pimpinan sendiri gagal ditaati.

Pengalaman di Bagan Pinang

Teringat sewaktu Tuan Guru memberikan ceramah sewaktu pilihanraya Bagan Pinang bersama rakan-rakan Pakatan Rakyat yang lain. Sepeti biasa, beliau mengulas isu semasa dengan digabungkan bersama dengan ayat-ayat suci al-Quran, Hadis serta Sirah perjuangan Rasulullah SAW. Inilah ‘pattern’ Tuan Guru. Seusai sahaja ucapan beliau, seorang yang berbangsa India bertanya kepada kami yang sedang bertugas.

“Dia baca teks ke tadi?”

“Tak..” Jawab saya.

Wow, very charismatic la”, ujarnya kagum. Menyangka pidato Tuan Guru bersandarkan teks.

Mungkin ini secebis pengalaman saya tentang Tuan Guru. Mungkin banyak lagi yang dialami oleh sahabat-sahabat.

Istiqamah Mendepani Cabaran

Teruskan perjuanganmu Tuan Guru. Kami bersama denganmu bagi menyambung mata rantai perjuangan yang telah diwariskan oleh Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Tuan Guru dan para pejuang Islam, hayatilah sabda Rasulullah SAW ini;

أَشَدُّ النَّاسِ بَلَاْءً اَلْأَنْبٍيَاْءُ ثُمَّ الْأَمْثَلُ فَالْأَمْثَلُ يُبْتَلَى النَّاْسُ عَلَى قَدَرِ دِيْنِهِمْ فَمَنْ ثَخُنَ دِيْنُهُ اِشْتَدَّ بَلَاْؤُهُ وَمَنْ ضَعُفَ دِيْنُهُ ضَعُفَ بَلَاْؤُهُ وَإِنَّ الرَّجُلَ لَيُصِيْبُهُ الْبَلَاْءُ حَتَّى يَمْشِيَ فِي النَّاْسِ مَاْ عَلَيْهِ خَطِيْئَةٌ.


Manusia yang paling hebat ditimpa ujian oleh Allah ialah para Nabi, kemudian orang yang seperti mereka dan begitulah seterusnya. Manusia diuji mengikut tahap pegangan agama mereka. Sesiapa yang kukuh pegangan agamanya akan kuatlah pula ujian Allah kepadanya. Sesiapa yang lemah pegangan agamanya ringanlah ujian Allah kepadanya. Apabila seseorang ditimba ujian (dari Allah, maka akan terhapuslah dosanya) sehingga ia berjalan di tengah-tengah manusia tidak ada sedikitpun dosa yang terpikul atas bahunya”.

(Riwayat Ibnu Hibban dari Abi Sa’id r.a.)

Tulisan ini bukan untuk memuji, memuja atau untuk mempertahankan beliau. Bahkan, beliau tidak perlukan semua itu. Bagi beliau, hanya Allah SWT yang menjadi matlamat utama. Dan matlamat inilah yang menjadi benteng kukuh bagi menghalang putus asa, kecewa dan merasa lemah menerobos dalam dirinya. Saya yakin dan pasti.

 Dalam respon beliau terhadap suara-suara gesaan terhadapnya supaya berundur, beliau menyatakan sebagaimana kenyataan Saidina Uthman bin Affan ketika diminta meletakkan jawatan sebagai khalifah.

“Saya tidak akan menanggalkan pakaian yang dipakaikan oleh Allah SWT”.

FASTAQIM KAMA UMIRTA


PAS YANG DICINTAI…

November 4, 2009

 nas1

Puas, gembira dan terharu…

Begitulah perasaan saya apabila mendengar penjelasan daripada Dato’ Dr. Hassan Ali, Pesuruhjaya PAS Selangor dalam pertemuan malam tadi. Semua isu yang berbangkit dan menjadi kontroversi selama ini dijelaskan oleh Dato’ Pesuruhjaya dan ahli Dewan Harian Perhubungan PAS Selangor dengan penuh hikmah dan bijaksana.

Barulah rasa lega di hati ini. Bertambah yakin dan meningkat kecintaan kepada perjuangan Islam yang didokongi oleh PAS. Bagi saya, pertemuan semalam adalah merupakan anugerah daripada Allah SWT kepada mereka yang terpilih. Saya cukup merasa bertuah dapat menyertainya.

Tahniah kepada pimpinan PAS Selangor kerana berjaya bertahan dan tetap utuh dalam berhadapan dengan ujian yang menimpa. Terlalu berat beban yang dipikul.

Mereka yang membawa dan menyebarkan fitnah akan menerima ‘habuannya’ daripada Allah SWT. Apakah mereka sanggup untuk memikul dosa yang besar dan di atas fitnah yang diciptanya, dan pada masa yang sama perlu memikul dosa mereka yang terpengaruh dengan fitnahnya? Hayatilah Sabda Rasulullah SAW:

‏عن ‏ ‏جرير بن عبد الله ‏ ‏قال : … فقال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ ‏من سن في الإسلام سنة حسنة فعمل بها بعده كتب له مثل أجر من عمل بها ولا ينقص من أجورهم شيء ومن سن في الإسلام سنة سيئة فعمل بها بعده كتب عليه مثل وزر من عمل بها ولا ينقص من أوزارهم شيء.

(صحيح مسلم)

          “Daripada Jarir Bin Abdullah dengan katanya: Rasulullah s.a.w. telah bersabda: Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu perkara yang baik di dalam Islam, Dan ianya diamalkan oleh orang sesudahnya, maka ganjarannya sama seperti ganjaran yang diperolehi oleh orang yang mengamalkannya dengan tidak mengurangkan sedikitpun daripadanya. Dan barangsiapa yang menunjukkan sesuatu perkara yang tidak baik di dalam Islam, Dan ianya diamalkan oleh orang sesudahnya, maka dosanya sama seperti dosa yang diperolehi oleh orang yang mengamalkannya dengan tidak mengurangkan sedikitpun daripadanya.”

                                                                   (Riwayat Muslim)

 Pedoman yang paling berharga dapat saya garapkan setelah pertemuan semalam adalah:

1-   Thiqah dan Husnu Zhan kepada pimpinan amat perlu ketika fitnah serta khabar angin tersebar. Berikan ruang yang sepenuhnya kepada pimpinan untuk berbincang dan menyatakan pendirian mereka. Berikan sedikit masa kepada mereka untuk membuat keputusan demi maslahah dan kepentingan Harakah yang kita cintai ini.

 2-   Hak pimpinan untuk dihormati. Biasanya kita selalu membangkitkan hak kita sebagai ahli untuk bersuara dan menegur pimpinan. Lalu kita gunakan saluran-saluran yang tidak tepat bagi menyalurkan suara hati sehingga mendedahkan Jemaah kepada keburukan yang lebih besar. Namun, dalam keghairahan tersebut, kita lupa kepada hak pimpinan untuk dihormati dalam memimpin Jemaah.

3-   Jangan terpengaruh dengan berita dan khabar angin. Berita-berita yang tersebar memerlukan penelitian dan penilaian secara terperinci. Jangan bersetuju dengan setiap maklumat yang diterima. Cuba dapatkan first hand information daripada mereka yang benar-benar terlibat. Mesti bersikap adil kepada semua pihak untuk membela diri mereka dan lihat kepada hujah-hujah yang dikemukakan.

4-   Mantapkan saff perjuangan. Serangan musuh akan datang dari luar atau dalam jemaah sendiri, sama ada secara terang-terangan atau secara sembunyi sehingga tidak disedari. Pastikan kita tidak terlibat sebagai entiti yang menjadi alat kepada musuh dalam menghancurkan jemaah secara perlahan-lahan.

5-   Dalami fiqh Waqi’. Fahami keperluan semasa dan tuntutan kondisi setempat. Tidak semestinya pendekatan yang perlu dibawa oleh PAS Selangor sama dengan PAS di tempat yang lain.

6-   Jangan bertindak sesuka hati. Pastikan tindakan yang dilakukan direstui oleh Jemaah. Agar apabila datang tohmahan, ahli dan pimpinan Jemaah akan mempertahankan bagi pihak kita. Sebarang tindakan yang dilakukan di atas sentimen dan amarah akan memakan diri.

Kita hanyalah mata rantai perjuangan yang dibawa oleh Baginda Rasulullah SAW. Kita bukanlah yang pertama dan yang terakhir. Sekiranya kita tidak berminat dengan perjuangan ini, ia tidak akan sedikit pun memberikan kesan kepada perjuangan Islam.

Perjuangan adalah milik Allah SWT. Dan Allah SWT tidak akan membiarkan perjuangan yang suci ini dimusnahkan. InsyaAllah, akan ada tapisan dariNya.

Mereka yang kekal hanyalah pejuang yang IKHLAS!

FASTAQIM KAMA UMIRTA…

 


APABILA PERSEPSI MANUSIA DIUTAMAKAN…

October 30, 2009

SDC11112

Selepas melihat keputusan Mesyuarat Khas PAS Pusat, saya yakin ramai yang sudah hilang perasaan sedih, buntu dan kusut memikirkan ujian yang berlaku dalam PAS. Khususnya mereka yang menyayangi perjuangan yang diwarisi oleh Rasulullah SAW.

Namun begitu, kelegaan ini mungkin hanya bersifat sementara sekiranya mereka yang mendokong perjuangan PAS belum memahami sepenuhnya matlamat dan halatuju gerakan Islam tercinta ini. Tanpa kefahaman ini, suasana getir dan masalah dalaman pasti berlaku lagi!

Bagi para abna’ harakah yang memahami intima’ diri dalam PAS adalah di atas dasar aqidah, mereka pastinya tidak rela melihat PAS terus retak dan bergoncang dengan masalah dalaman. Semua ini berbalik kepada sejauh mana kefahaman mereka dalam memilih PAS sebagai jemaah yang diintima’kan.

PAS sebagai gerakan dakwah tidak seharusnya hanyut dengan suasana semasa yang berlaku pada hari ini. Janganlah disebabkan kerana semangat Pakatan Rakyat, prinsip Islam kita gadaikan.

Saya tertarik dengan kupasan yang diutarakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan Tantawi ketika memberikan pengisian dan tawjihat dalam usrah gabungan pemuda PAS Gombak, Isnin yang lalu. Beliau menyatakan sangat malang bagi pendokong gerakan Islam kerana tidak berbangga dengan Islam yang menjadi pegangannya. Di ketika itu, hilanglah keizzahan dan kemuliaan jemaah Islam tersebut.

Benar, sehingga kita dapati sebahagian dari pimpinan parti sudah tidak lagi menyebutkan ayat-ayat suci al-Quran ketika bersama-sama rakan-rakan bukan Islam dalam Pakatan Rakyat.

“Kita kena jaga hati diorang”, katanya… Bimbang kalau-kalau ayat al-Quran itu menimbulkan persepsi yang salah dan mengguris perasaan rakan-rakan bukan Islam. Bukankah al-Quran diturunkan untuk semua kaum dan bangsa? Apa hak kita untuk menafikan hak mereka sekurang-kurangnya untuk mendengar ayat Allah SWT?

Pemuda PAS Gombak tekun mendengar pencerahan daripada Ustaz Nasruddin Tantawi

Justeru, sebagai sebuah muhasabah, perlu kita lihat kembali tujuan dan matlamat memilih PAS. Adakah intima’ kita berasaskan cetusan hati, maslahah peribadi atau kerana kekaguman terhadap individu-individu tertentu? Sesungguhnya semua itu adalah intima’ yang rapuh.

Intima’ yang kukuh adalah yang berasaskan dan berdasarkan aqidah serta kefahaman yang jitu. Pastinya ahli-ahli yang melengkapkan dirinya dengan matlamat sebegini tidak akan dihanyutkan dengan kepentingan peribadi yang tidak berkesudahan.

Ingatlah, Saidina Umar al-Khattab pernah menjelaskan;

تفقهوا قبل أن تسودوا

“Fahamilah oleh mu ( akan perkara agama dan urusan kepimpinan/perjuangan ) sebelum kamu dipilih menjadi pemimpin”.

Bukanlah persepsi manusia itu tidak penting. Namun, antara persepsi Allah dan manusia, yang mana lebih penting? 

FASTAQIM KAMA UMIRTA….


MENJADIKAN KEKALAHAN SEBAGAI KEMENANGAN

October 14, 2009

SDC10973

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan bahawa Barisan Nasional (BN) telah berjaya mengalahkan PAS dengan majoriti lebih besar, 5,435 undi dalam pilihanraya N31 Bagan Pinang. Calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad mendapat 8,013 undi, sementara calon PAS Zulkefly Mohamad Omar pula meraih hanya 2,578 undi.

Kemenangan UMNO dan Barisan Nasional telah dapat dijangkakan sedari awal lagi. PAS yang berada dalam situasi ‘underdog’ dalam keseluruhan tempoh kempen telah pun bersedia untuk menerima keputusan tersebut sebelum penamaan calon lagi.

Saya pernah bertanya kepada seorang pimpinan PAS semasa tempoh kempen tentang harapan dan potensi kemenangan kepada Pakatan Rakyat dan PAS.

“Kalau kita dapat mengurangkan majoriti UMNO, ia adalah satu kemenangan di pihak kita”. Jawabnya dengan tenang.

Ya, memang untuk memenangi pilihanraya Bagan Pinang adalah suatu perkara yang amat sukar dijangkaui. Rata-rata petugas PAS menyedari tentang hakikat ini. Bagan Pinang yang sememangnya kubu kuat UMNO (walaupun istilah ini tidak begitu digemari oleh Ketua Pemuda PAS pusat) dan tempat jati Isa Samad dan isterinya. Tambahan pula, jentera BN di Bagan Pinang memberikan sokongan yang penuh kepada Isa Samad sehingga pucuk pimpinan UMNO terpaksa memejamkan mata memilih ikon rasuah tersebut sebagai calon.

Persoalannya, kenapa PAS meneruskan hasratnya bertanding dalam pilihanraya Bagan Pinang sedangkan peluang untuk menang terlalu kecil? Apakah PAS tidak menyedari risiko-risiko yang terpaksa dihadapi?

SAMPAIKAN MESEJ ISLAM

Bagi PAS, kemenangan dalam pilihanraya bukanlah menjadi matlamat utama penyertaannya. Ada perkara yang lebih utama dari kemenangan mengalahkan BN. PAS sebagai sebuah gerakan Islam menggunakan wadah pilihanraya sebagai salah satu cari bagi menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat. Inilah yang menjadi faktor utama penglibatan PAS dalam politik Negara termasuklah bertanding dalam pilihanraya.

Bagi PAS, setiap ruang serta peluang perlu diambil bagi memartabatkan Syariah Islam mengikut kapasiti dan kondisi yang ada. PAS menganggap politik sebagai salah satu seni untuk mempengaruhi masyarakat dan mewujudkan persepsi. Ia juga sangat berkait rapat kepada kebijaksanaan dalam meraih peluang untuk mendapat sokongan atau dokongan rakyat. Sokongan dan dokongan ini akan lahir apabila masyarakat mempunyai persepsi yang betul terhadap PAS.

Dalam setiap pilihanraya, kejayaan PAS perlu diukur kepada sejauh mana ia dapat menyampaikan mesejnya sebagai sebuah gerakan Islam sekaligus dapat memperbaiki persepsi masyarakat selama ini.

Namun begitu, PAS tetap menganggap kemenangan dalam pilihanraya adalah satu perkara yang penting. Kerana ia adalah jalan terbaik untuk mendirikan Negara yang melaksanakan Syariah Islam.

Bak kata Imam al-Ghazzali dalam Ihya’ Ulumuddin;

الدين أصل و السلطان جارس

فما لا أصل له فمهدوم و ما لا حارس له فضائع

” Agama adalah tapak dan pemerintah ( kedaulatan ) adalah pengawal , suatu yang tiada tapak pasti runtuh dan suatu yang tiada pengawal pasti hilang .”

PILIHANRAYA SEBAGAI LAPANGAN TARBIAH

PAS juga menganggap pilihanraya sebagai lapangan tarbiah kepada ahli-ahlinya. Untuk mengukur sejauh mana wala’, tadhiyah, ukhuwah dan roh jihad yang ada dalam diri. Ahli-ahli PAS yang datang dari seluruh Negara tidak pernah dijanjikan dengan keadaan yang selesa semasa bertugas dalam pilihanraya.

Di Bagan Pinang, semua masjid dan surau menjadi meriah kerana menjadi pusat persinggahan petugas-petugas PAS untuk menghilangkan keletihan. Ia amat berlainan dengan petugas-petugas UMNO. Kehadiran mereka bukan sahaja ditaja sepenuhnya, bahkan mereka dapat menginap di hotel-hotel yang terdapat di sekitarnya.

Ahli-ahli PAS tentunya menyedari tentang kelainan ketika bertugas di Bagan Pinang. Ia adalah satu lokasi yang kurang mendapat tumpuan PAS dalam menyampaikan mesejnya selama ini.

Sengaja Allah SWT aturkan PAS ke Bagan Pinang. Agar mesej Islam dan rohnya dapat dirasai oleh masyarakat di sana, sama ada yang beragama Islam ataupun bukan.

Saya berpeluang mengunjungi Bagan Pinang selama tiga kali semasa tempoh kempen. Suasana yang ada pada kunjungan yang pertama amat berbeda sekali berbanding kunjungan yang terakhir. Pada kali pertama, masyarakat di sana kelihatan agak gusar dengan kehadiran PAS. Mereka hanya melihat dari jauh. Apabila petugas-petugas PAS menghampiri, terus ditutupkan pintu. Namun, ketika tempoh-tempoh terakhir kempen pilihanraya, jelas mereka sudah mula menerima kehadiran PAS.

Berbincang sebelum berkempen

Berbincang sebelum berkempen

Memulakan kempen bersama Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Memulakan kempen bersama Naib Presiden PAS, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man

Mengunjungi salah seorang penduduk Bagan Pinang. Turut serta YB Fauziah (PKR- Kuantan)

Mengunjungi salah seorang penduduk Bagan Pinang. Turut serta YB Fauziah (PKR- Kuantan)

Pilihanraya kali ini adalah permulaan kepada tersebarnya mesej PAS di sebelah barat tanahair. InsyaAllah, mesej ini akan terus disampaikan sehinggalah ke seluruh Negeri Sembilan, Melaka dan Johor yang merupakan negeri-negeri yang paling terkuat UMNOnya di atas muka bumi. Seterusnya, ke bumi Borneo.

Seumpama Toriq bin Ziyad yang membakar kapal untuk tidak memungkin mereka berpatah pulang melainkan terus mara membawa panji Islam . Begitu juga Uqbah bin Nafiq yang bermunajat : ” Ya Allah , kiranya aku tahu di seberang lautan ini masih ada daratan dan manusia nescaya aku renanginya untuk menjulang bendera Islam di sana ” .

Walaupun PAS mengalami kekalahan, namun PAS tetap menang kerana berjaya menyampaikan mesej sekurang-kurangnya. Walaupun mungkin belum dapat diterima…

Pasukan Pemuda PAS bergambar dengan pemuda-pemuda berbangsa India selepas perlawanan bolasepak. Pemuda PAS tewas dalam perlawanan tersebut.

Pasukan Pemuda PAS bergambar dengan pemuda-pemuda berbangsa India selepas perlawanan bolasepak. Pemuda PAS tewas dalam perlawanan tersebut.

Suasana semasa hari mengundi di Ladang Bradwall.

Suasana semasa hari mengundi di Ladang Bradwall.

Jangan bersedih. Teruskan perjuangan...

Jangan bersedih. Teruskan perjuangan...

FASTAQIM KAMA UMIRTA..


MENINJAU KELAINAN DI BAGAN PINANG

October 6, 2009

SDC10882

Pilihanraya Kecil N31 Bagan Pinang tentunya dilihat sebagai medan penting bagi mengukur kekuatan kedua-dua belah pihak.

Bagi PAS, ia pastinya untuk mengukur sejauh mana mesej Islam dan segala norma kebaikan seperti keadilan, kesaksamaan dan ketelusan yang diperjuangkan dapat diterima serta diyakini rakyat ataupun tidak.

Saya berkesempatan untuk menjejaki penerimaan masyarakat Bagan Pinang terhadap Pakatan Rakyat khususnya PAS. Kami yang bertugas atas nama Pemuda PAS Selangor diamanahkan untuk berkempen di ladang Bradwall yang didiami oleh masyarakat India secara majoritinya. Justeru, banyak tugas-tugas kempen dan jejak pengundi ditumpukan ke kawasan berkenaan.

Pada peringkat permulaan, saya merasa agak sangsi dengan penerimaan penduduk terhadap PAS. Lebih-lebih lagi, kami difahamkan bahawa ladang tersebut tidak pernah dikunjungi untuk berkempen dalam pilihanraya umum yang lalu. Maka, tentunya tugas yang kami pikul ini sangat berat.

Namun, setelah mengunjungi kawasan berkenaan, saya mendapati bahawa suasana yang ada cukup berbeza. Masyarakat di sana cukup berminat dan sedia menerima dan mendengar mesej yang ingin disampaikan. Walaupun sebelum ini mereka hanya dikunjungi oleh parti pembangkang berlogo roket, kini mereka menerima kunjungan parti yang berlogokan bulan. Nampaknya, PAS makin melebarkan sayapnya.

Sedang mendengar keluhan seorang penduduk

Sedang mendengar keluhan seorang penduduk

Saya cukup terharu kerana ada sebahagian penduduk secara sukarela menawarkan diri untuk menaikkan bendera PAS serta mengedarkan risalah kempen kepada jiran tetangga. Bahkan ada yang sanggup memberikan laluan kepada kami untuk menggunakan bekalan eletrik rumahnya bagi mengadakan program Wayang Pacak. Sudah tiada ketakutan untuk bersama dengan perjuangan PAS, walaupun mereka menyedari pengurus ladang dan polis-polis bantuan ada bersama memerhatikan mereka.

Abang Fahmi sedang asyik memberikan penjelasan tentang program-program yang bakal dijalankan di kawasan berkenaan.

Abang Fahmi sedang asyik memberikan penjelasan tentang program-program yang bakal dijalankan di kawasan berkenaan.

Mereka juga tidak lokek untuk berkongsi masalah-masalah yang dihadapi penduduk. Maklumat tersebut kami gunakan sebagai bahan kempen untuk menolak Barisan Nasional dalam pilihan raya kali ini. Yang lebih penting dari itu adalah, kami dapat membantu mereka dalam menyuarakan suara ketidakpuasan hati yang terbelenggu selama ini. Seolah-olah mereka inginkan pembelaan dan perlindungan terhadap hak-hak mereka.

Apabila mendengar pengaduan mereka, saya teringat ayat al-Quranul Karim berikut;

وَإِنۡ أَحَدٌ۬ مِّنَ ٱلۡمُشۡرِكِينَ ٱسۡتَجَارَكَ فَأَجِرۡهُ حَتَّىٰ يَسۡمَعَ كَلَـٰمَ ٱللَّهِ ثُمَّ أَبۡلِغۡهُ مَأۡمَنَهُ ۥ‌ۚ ذَٲلِكَ بِأَنَّہُمۡ قَوۡمٌ۬ لَّا يَعۡلَمُونَ

Maksudnya: “Dan jika seseorang dari kaum musyrik meminta perlindungan kepadamu (untuk memahami Islam), maka berilah perlindungan kepadanya sehingga dia sempat mendengar keterangan-keterangan Allah (tentang hakikat Islam itu), kemudian hantarlah dia ke mana-mana tempat yang dia beroleh aman. Perintah yang tersebut ialah kerana mereka itu kaum yang tidak mengetahui (hakikat Islam).”

(Surah At-Taubah; 6)

Pernah suatu ketika, kami sedang berbincang dengan penduduk, tiba-tiba datang pengurus berbangsa Melayu ladang bersama dengan seorang pegawai polis ke sebuah rumah penduduk, tidak jauh dari tempat kami berada.

“Aku nak orang dalam rumah ni keluar hari ni jugak!” kata pengurus berkenaan dengan nada yang kuat. Mungkin untuk menunjukkan kuasanya kepada kami. Kelihatan seorang lelaki berbangsa asing keluar dari rumah berkenaan terpinga-pinga. Seolah-olah terkejut dan hairan dengan tindakan pengurus berkenaan.

Mungkin inilah yang dihadapi oleh penduduk di kawasan berkenaan. Berhadapan dengan mereka yang menggunakan kuasa secara sewenang-wenang. Namun, apa yang mereka boleh buat? Mereka hanyalah golongan lemah yang mengharapkan simpati golongan yang sanggup memperjuangkan nasib mereka. Inilah cabaran kita!

Alhamdulillah, pilihanraya kali ini merupakan pengalaman baru bagi kami. Sebelum ini, banyak tertumpu di kawasan Melayu, namun kali ini lebih mencabar. Maka uslub serta pendekatan yang dibawa perlu diubah agar sesuai dengan ‘waqi’ di sana.

Bagan Pinang mempunyai kelainan dari segi masyarakat dan tahap pemikiran penduduk. Maka jentera PAS dan Pakatan Rakyat juga perlu mempunyai kelainan untuk menarik minat mereka menerima setiap mesej yang disampaikan.

Hadapilah kelainan mereka dengan kelainan kita!

Nisa' Gombak turut membantu.

Nisa' Gombak turut membantu.

Pilihanraya kecil; antara lokasi pertemuan dengan sahabat-sahabat seperjuangan di kampus dahulu.

Pilihanraya kecil; antara lokasi pertemuan dengan sahabat-sahabat seperjuangan di kampus dahulu.

Gelombang Pakatan Rakyat semasa penamaan calon

Gelombang Pakatan Rakyat semasa penamaan calon

Us. Salehudin memimpin perarakan calon.

Us. Salehudin memimpin perarakan calon.

Semoga segala usaha dan pengorbanan mempunyai nilai di sisi Allah SWT. Amin..

FASTAQIM KAMA UMIRTA…


ISU SELANGOR; MENGAMBIL SISI POSITIF

October 1, 2009

apaUsrah pemuda minggu ini amat menarik. Walaupun hanya sekitar sepuluh orang yang hadir, kerana yang lain masih sibuk beraya, namun ia tetap dapat memberikan pengisian terhadap jiwa yang inginkan kebenaran.

Tiada perbincangan silibus usrah melalui kitab Amal Jamaie, karangan Ustaz Yahya Usman seperti biasa. Namun, isu yang menjadi fokus ahli usrah yang hadir adalah perselisihan yang timbul antara rakan-rakan Pakatan Rakyat di Selangor yang heboh dewasa ini.

Sangat malang bagi sebuah kerajaan yang memerintah sekiranya berlaku pergolakan dalaman yang mengganggu-gugat perjalanan pemerintahan. Lebih-lebih lagi ia mengusik sokongan rakyat serta kepercayaan mereka selama ini.

Justeru, setiap langkah perlu diambil secara berhati-hati. Jangan terlalu gopoh hingga meminggirkan soal hikmah dalam setiap langkah dan wadah.

Bermula dengan isu penjualan arak sehingga yang terkini isu SELCAT, Pakatan Rakyat di Selangor tampak seperti sudah goyang dan pendek usianya. Perselisihan yang timbul banyak ditujukan kepada PAS, lebih khusus lagi kepada Pesuruhjaya Selangir, YB Dato’ Dr. Hassan Mohd Ali sebagai pesalah atau puncanya. Lebih malang lagi adalah tuduhan itu ditujukan oleh pihak dalaman PAS sendri.

Mungkin ada yang menyatakan Pesuruhjaya selalu mengambil tindakan bersifat ‘unilateral’ bagi menyuarakan pandangannya. Namun, saya yakin bahawa Pesuruhjaya mempunyai pertimbangannya sendiri untuk mengutarakan pendapat di atas kapasitinya sebagai orang nombor satu dalam PAS Selangor.

Sekurang-kurangnya PAS dilihat sebagai parti yang dominan dalam Pakatan Rakyat di Selangor dan mempunyai suara serta prinsipnya yang tersendiri. Tidak hanyut meliang umpama lalang yang ditiup angin dek kerana meraikan rakan-rakan tahaluf yang dibina.

Sokongan masyarakat Melayu kepada PAS akan terus meningkat melihatkan peranannya yang begitu ‘significant’ dalam mempertahankan kepentingan Islam dan Melayu. Semangat Pakatan Rakyat perlu diletakkan di bahu, namun Islam tetap dijunjung di kepala.

Meskipun, kadang-kadang suara Pesuruhjaya agak terbuka sehingga menimbulkan kontrovesi, namun isu yang dibangkitkan memang perlu kepada ketegasan agar pihak lain tidak sewenang-wenangnya memperlekehkan Islam dan Melayu.

Semua ini sebenarnya adalah disebabkan sikap kerajaan Selangor kini mengamalkan sikap keterbukaan untuk menerima kritikan. Semua pihak kini boleh bebas bersuara. Sehingga UMNO dan picagarinya sudah beberapa kali berdemonstrasi di hadapan SUK Selangor walaupun sikap tersebut amat dibenci oleh mereka dahulu.

Kelainan inilah yang amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat. Semoga suasana yang wujud dapat dilihat secara positif oleh semua pihak.

Mungkin ada yang mencari sisi negatif dalam isu yang berlaku, sehingga sukar melihat sisi positif yang terhasil darinya.

FASTAQIM KAMA UMIRTA..


AIDILFITRI; LAYAKKAH KITA?

September 18, 2009

DSCN0512

Ramadhan semakin melabuhkan tirainya. Mungkin ramai yang sedih di atas keberangkatannya kali ini. Namun, di sebalik kesedihan itu, terdapat rasa gembira kerana bakal menyambut hari kemenangan iaitu Aidil Fitri.

Sebenarnya, demikianlah resam kehidupan. Perasaan kadang-kadang bercampur baur. Menyebabkan kita kurang pasti apakah perasaan kita yang sebenar?

Hidup ini boleh diumpamakan seperti perjalanan sebuah kereta api. Tempat perhentian hanya menjadi persinggahan sementara untuk menurunkan penumpang. Setiap tempat yang menjadi persinggahannya tidak akan dijumpai lagi selepas itu. Perjalanannya akan berakhir apabila sampai ke destinasi yang sepatutnya.

Itulah perumpamaan yang boleh dibuat untuk menggambarkan kehidupan kita di dunia yang fana ini. Setiap masa yang dilalui tidak akan kembali lagi. Semalam semestinya tidak sama dengan hari ini dan hari ini tidak mungkin sama dengan esok. Ramadhan yang telah berlalu juga tidak akan sama dengan Ramadhan akan datang. Kita tidak akan dapat melalui semula perhentian Ramadhan yang telah berlalu. Apa yang boleh dibawa adalah nilai dan hasilnya bersama.

Demikian juga hari-hari yang berlalu dalam hidup kita. Setiap masa yang dilalui sepatutnya digunakan semaksima mungkin kerana ia pastinya tidak berulang lagi. Umur yang dimiliki oleh kita mempunyai tarikh luputnya yang tersendiri. Bahkan Allah SWT akan membangkitkan persoalan umur dan bagaimana kita memanfaatkannya di akhirat kelak. Sabda Nabi SAW;

“لا تزول قدما ابن آدم يوم القيامة من عند ربه حتى يسأل عن خمس‏:‏ عن عمره فيما أفناه وعن شبابه فيما أبلاه وعن ماله من أين اكتسبه وفيما أنفقه وماذا عمل فيما علم”‏.

Maksudnya:‏ “ Setiap hamba di Hari Qiamat tidak akan mengorak langkah menuju ke mana-mana , selagi dia belum selesai disoal- siasat tentang empat perkara;

1-   Tentang umur, kemanakah dihabiskan sewaktu di dunia dahulu?

2-   Di masa remajanya, bagaimanadia menghadapi ujian di waktu itu?

3-   Tentang harta, dari mana dia perolehi dan bagaimana dia membelanjakannya?

4-   Tentang ilmunya, apakah dia telah beramal dengan ilmunya itu?

-Hadis riwayat Tirmizi

Pepatah Melayu ada menyebut; ”Sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna”. Pepatah ini cukup bermakna kerana ia menganjurkan kita supaya sentiasa membuat muhasabah terhadap kehidupan yang ditempuhi. Sekiranya ia bercanggah dengan penilaian syariah, maka lebih baik berpatah balik ke pangkal jalan. Walaupun kadang-kadang ia memerlukan pengorbanan, namun ia cukup berharga serta bernilai di sisi Allah SWT. Jangan sampai sudah terlambat, barulah hendak menyesali segalanya.

Terlalu banyak ayat-ayat yang tercatit dalam al-Quran menceritakan penyesalan orang-orang yang melakukan maksiat kepada Allah dan minta diberikan sedikit ruang masa untuk kembali ke dunia untuk melakukan amal kebajikan. Antaranya, Firman Allah SWT dalam Surah As-Sajadah, ayat 12 yang bermaksud: ”Sekiranya engkau melihat ketika orang yang berdosa itu menundukkan kepala di hadapan Tuhan mereka sambil berkata: Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami ke dunia agar kami mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami sekarang telah yakin dan beriman.”

 Allah juga telah berfirman dalam Surah al-Munafiqun, ayat 10;

 وَأَنفِقُوا مِن مَّا رَزَقْنَاكُم مِّن قَبْلِ أَن يَأْتِيَ أَحَدَكُمُ الْمَوْتُ فَيَقُولَ رَبِّ لَوْلَا أَخَّرْتَنِي إِلَى أَجَلٍ قَرِيبٍ فَأَصَّدَّقَ وَأَكُن مِّنَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya; ” Dan belanjakanlah sebahagian dari rezeki yang Kami berikan kepada kamu sebelum seseorang dari kamu sampai ajal maut kepadanya, lalu dia berkata: Wahai Tuhanku! Alangkah baiknya kalau Engkau lambatkan kedatangan ajalku ke suatu masa yang sedikit lagi, maka aku dapat bersedekah dan dapat pula aku tergolong dalam orang-orang yang soleh”.

Demikianlah digambarkan sesalan golongan   yang berbuat dosa di akhirat kelak. Amat dahsyat penyesalan itu sehingga merayu dan meratap kepada Allah SWT supaya diberikan sedikit masa untuk kembali ke dunia.

Marilah sama- sama kita bersyukur di atas nikmat masa yang diberikan Allah. Gunakanlah ia sebaik mungkin kerana kita akan dipertanggungjawabkan di akhirat kelak. Bulan Ramadhan telahpun berlalu. Namun, apakah amalan puasa yang kita jalani pada bulan tersebut di terima Allah? Atau puasa kita hanya menjadi sia-sia sebagaiman yang disebutkan oleh Rasulullah SAW;

‏عن ‏ ‏أبي هريرة ‏ ‏قال ‏ قال رسول الله ‏ ‏صلى الله عليه وسلم ‏ )‏كم من صائم ليس له من صيامه إلا الجوع وكم من قائم ليس له من قيامه إلا السهر-رواه لأحمد

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah r.a, Sabda Rasulullah SAW: (Berapa ramai daripada orang berpuasa yang tiada mendapat apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga, dan berapa ramai yang berjaga malam tiada mendapat apa-apa dari bangunnya kecuali letih kerana berjaga).

Riwayat Ahmad

Diharapkan semangat mengerjakan ibadah pada bulan tersebut dapat diteruskan dalam bulan-bulan yang lain juga. Dan sepatutnya kita tidak lupa untuk membuat kesinambungan puasa Ramadhan yang lalu dengan mengerjakan puasa sunat enam hari di bulan Syawal ini.

عن أبى أيوب رضى الله عنه: أن رسول الله صلى الله عليه وسلم: (من صام رمضان ثم أتبعه ستا من شوال كان كصيام الدهر).

Maksudnya: Abu Ajjud r.a berkata: Rasulullah SAW bersabda; Siapa yang berpuasa di bulan Ramadhan, kemudian diikutinya dengan enam hari Syawwal, maka bagaikan berpuasa sepanjang masa.

diriwayatkan oleh Muslim

Justeru, marilah kita membersihkan diri dari dosa dan noda. Janganlah pada pagi 1 Syawal yang mulia dicemari dengan maksiat kepada Allah SWT yang akan merosakkan benih-benih taqwa yang telah dituai selama sebulan. Taqwa kepada Allah SWT perlu dituai dengan penuh keimanan serta rasa syukur di atas peluang menjalani ibadah puas selama sebulan. Mudah-mudahan Ramadhan tahun hadapan akan kita temui lagi. InsyaAllah

Rasa syukur ini boleh dimanefistasikan dengan melaksanakan sunnah-sunnah Rasulullah SAW sebagaimana yang telah ditunjukkan oleh Baginda.

Dan meneruskan perjuangan yang telah diasaskan oleh Baginda Rasulullah SAW dan seluruh Rasul-Rasul terdahulu.

SELAMAT HARI RAYA AIDIL FITRI, MAAF ZAHIR DAN BATIN…

KULLU ’AM WAANTUM BIKHAIR